Petang Jumaat yang sesak di bandar Kuantan.
Fenomena biasa. Mungkin warganya berebut-rebut mengambil peluang cuti 2 hari berlibur.

Saya dan Syahar di dalam Myvi. Perjalanan untuk menghantar Syahar ke Terminal Makmur. Bas 7.30 malam bakal membawa Syahar ke Kuala Lumpur.

Entah bagaimana topik perbualan bertukar kepada cerita filem.

“Ko tak pernah dengar pasal Slumdog Millionaire?” Tanya Syahar terkejut.

“Tak”, balas saya. Bingung. Tidak pernah saya mengambil tahu.

“Slumdog Millionaire ni memang banyak award masa Oscar 2008!”Balas Syahar.

“Memang cerita ni hebat! Dari banyak segilah.Mesej, pelakon.. bla.. bla bla..”, Syahar menjelaskan.

“Nanti aku bagi ko tengok filem tu, ada dalam laptop”.

“Okey,” jawab saya. Ingin tahu juga cerita bagaimana yang dimaksudkan itu.

Syahar sudah kembali ke Kuantan. Masih belum sempat bertemu. Ingin saya menonton Slumdog Millionaire itu.

Tapi tadi, saya terbaca tulisan Abang Azhar, kenalan saya. Katanya :

Laskar Pelangi – Membuka Mata, Mengusik Jiwa

Garapan ceritanya amat meruntun emosi maka saya pasti anda akan ketawa terbahak dan mengalir air mata tersentuh rasa di sepanjang perjalanan flem ini. Kalau anda pernah menonton Slumdog Millionaire yang menang banyak Oscar itu, Laskar Pelangi ini pada pendapat saya adalah lebih baik.

Aduh, Ahad kelmarin saya baru selesai menekuni novel Laskar Pelangi ini. Dan sekarang saya dalam pembacaan Sang Pemimpi. Novel kedua daripada tetralogi Laskar Pelangi.

(Kemudian saja jika hendak saya ulas tentang Tetralogi Laskar Pelangi ini)

Tidak cukup dengan membaca novelnya, saya turut menonton Filem hasil adaptasi novel tersebut. Walaupun tidak 100 % sebagaimana di dalam novelnya, hasilnya tidak dapat dibuang ke tepi. Tidak sekecewa filem Ayat-ayat Cinta.

Jadi saya tertanya-tanya sendiri, bagaimana ceritanya Slumdog Milionaire itu. Benarkah Laskar Pelangi lebih baik darinya?

Bagi saya setakat ini, Laskar Pelangi memang hebat. Nantikan saja keputusan muktamad saya selepas menonton Slumdog Milionaire itu.

Ketika Cinta Bertasbih

Tahun lepas sudah saya baca novel dwilogi ini untuk episod pertama. Cuma meminjam daripada sahabat sekelas.

Kelmarin saya nekad membeli KCB episod 1 dan 2. Episod 1 saya ulangi kembali kerana saya sudah tidak berapa ingat ceritanya. Kini saya tenggelam di dalam episod 2 novel karya Kang Abik, yang juga pengarang Ayat-ayat Cinta yang mencipta fenomena luar biasa sebelum ini.

Ketika Cinta Bertasbih juga sudah difilemkan. Mengambil pengajaran filem Ayat-ayat Cinta dulu, kali ini Kang Abik turun sendiri memilih pelakon. Dan jangan terkejut kerana Kang Abik turut berlakon.

Saya menanti-nanti saat untuk menonton filem ini.

Hisham Ahmad

Post to Twitter Post to Yahoo Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to MySpace Post to StumbleUpon