Tags

,

15 Februari 1986 – (Saya ketika itu berusia 4 tahun)

Pagi itu bangun seperti biasa. Apa yang berlaku sudah tiada dalam ingatan. Yang tersimpan dalam memori, saya melihat Bangli turun dari rumah. Tergesa-gesa. Lantas saya turuti langkah itu. Namun terhenti di tepi rumah, mencangkung bersama-sama kemuncup yang tumbuh meliar. Masih mamai. Bangli menuju ke rumah Pakcik Mail @ Wahab untuk memberitahu sesuatu. Ingatan berakhir di sini.
Beralih memori kedua. Hari yang sama.

Dalam rumah. Di atas tangga yang hanya mempunya 3 anak tangga.

Saya memandang ke ruang atas. Ramai tetamu hadir. Rakan sepermainan iaitu Atan, jiran selang sebuah rumah datang menegur. Lebih tua daripada saya.

“Sham, ko tak sedih ke ayah ko meninggal?” Tanya Atan.

“Entah” jawab saya. Memandang tepat pada wajah Atan. Kemudian pandangan diarahkan semula ke ruang atas. Melihat ada jenazah di situ. Entah sedar atau tidak hakikatnya bahawa itu adalah ayah saya yang telah pergi buat selamanya.

Ayah dijemput pulang ketika saya berusia 4 tahun. Meninggalkan seorang isteri yang berusia 37 tahun ketika itu. Bersama dengan 9 orang anak.

15 Februari 2013. ( Hari ini)

Sudah 27 tahun ayah pergi. Dalam tempoh itu, disusuli pula dengan nenek laki (panggilan kepada datuk). Kemudian nenek. Abang ipar, dan 2 tahun lepas kakak juga dijemput kembali.

Berdiri di sebelah kiri. Dalam kenangan.

Berdiri di sebelah kiri. Dalam kenangan.

Sesekali melihat gambar-gambar arwah ayah, sebak rasa dalam hati. Malah kadang kala timbul juga pertanyaan. Bagaimana perasaannya jika ayah ada di sini. Ke sekolah dihantar ayah. Bergurau senda. Bertanya itu dan ini. Mencipta kejayaan lantas dikongsi bersama ayah, ibu dan keluarga. Takdir ilahi penentu segalanya. Apa yang saya sebutkan itu tidak direncanakan untuk saya. Allah lebih tahu apa yang terbaik.

Melihat anak sulung saya yang menginjak ke usia 4 tahun, hadir juga kenangan lama.
“Ketahuilah anakku, dulu ketika usia ayah seperti ini, ayah mula bergelar anak yatim”

Hisham - 4 Tahun

Hisham – 4 Tahun

———————

Al-Fatihah buat Ayahanda yang dikasihi dan amat dirindui, Ahmad Bin Bakri. Juga buat sanak saudara, kaum keluarga yang telah dipanggil menemui Rabbul Izzati.

 

Artikel berkaitan:

  1. 30 tahun!
  2. Sebelum Syawal