12 Julai 2008

Perjalananan pagi diarahkan ke Terengganu. Saya ditemani kakak dan anak-anak saudara meninggalkan bandar Kuantan. Ada misi tersendiri. Ada urusan yang perlu dilunasi.

Terengganu. Dalam tak sedar ada banyak kisah perkaitannya dengan saya. Atau mungkin ia sekadar teori kebetulan yang direka saya. Menggarap apa yang berkaitan dengannya lantas dijustifikasikan sebagai ‘memang ada sesuatu’.




Membesar di Sekolah Kiblah di peringkat menengah, saya ber’ustaz’kan seorang ustaz dari Terengganu. Segala tindak tanduk di dalam pemerhatian beliau. Kalaupun bukan dalam pengetahuannya, ada juga berita yang disampaikan kepadanya oleh golongan berstatus pelajar mahupun pendidik.

Di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri, beroleh pula sahabat-sahabat dari Terengganu. Zaidi, Rosidi dan Muhammad.

Zaidi- Bersama-sama merancang hendak ke jabatan mana ketika di APIUMKL kelak. Sayalah pendengar setia cerita-cerita eksklusif. Teman seiringan ke kedai Kak Wan, ke kedai Pawas, tidak lupa ke kedai Pawus. Di hujung minggu pula ke kedai Makcik Nasi Goreng Seringgit.


Saya, Yunos dan Zaidi

Rosidi- Sahabat bergelak ketawa. Bertekak, bergaduh, bersiar-siar di Kota Bharu. Memekak bersama di dalam bilik di samping men’sumbang’kan nasyid-nasyid dengan suara kami. Akhirnya tertubuh kumpulan Nasyid Nabi’tu yang dianggotai oleh kami berdua. Yang diketahui kewujudannya juga hanya kami berdua!

Muhammad – Sahabat ini lebih matang. Tempat saya menumpang muzakirat pengajian. Bertanyakan apa yang tidak difahami. Almaklumlah beliau di Majmu’ah 1, sedangkan saya di Majmu’ah 5. Tidak lupa juga menonton rancangan wrestling bersama-sama. Samada saya ke biliknya, atau dia datang ke bilik saya dan sama-sama menuju ke kantin untuk menonton wrestling.

Berpindah ke Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur, sekali lagi saya ber’ustaz’kan ustaz dari Terengganu. Bagi melengkapkan teori kebetulan ini, saya juga bertemu jodoh dengan dia yang berasal dari Terengganu.

Pertemuan Semula ( 1 )

Setelah 3 tahun menamatkan pengajian, saya bertemu kembali dengan Muhammad. Memang antara misi perjalanan saya ke Terengganu kali ini ialah untuk bertemu dengannya. Bangga mempunyai sahabat yang memiliki perniagaan sendiri.

Rasanya sudah bertahun-tahun saya menyatakan hasrat untuk membeli cincin daripadanya. Ketika dia bekerja sambilan di kedai emas lagi. Ketika kami sama-sama berada di UMKL. Perbezaan jabatan dan kolej kediaman tidak merapatkan persahabatan. Sesekali melawat ke Kolej Kelima, terkadang sempat berjumpa terkadang tidak.

Alhamdulillah tertunai sudah hajat di hati membeli cincin di kedainya. Walaupun mungkin sesetengah orang melihat ia perkara kecil, namun bagi saya, adalah lebih baik saya membeli sesuatu di kedai mereka yang saya kenali. Sebagai sokongan. Sebab itu saya tidak minta harga yang murah. Saya kuncikan mulut saya dari tawar menawar. Artikel kita yang bagaimana ada jawapannya.

Pertemuan Semula (2)

Petang 13 Julai 2008, seperti yang dijanjikan saya menuju ke rumah Abang Amir Nor Faisal. Salah seorang kakitangan Sekolah Kiblah dahulu. Tahun 2003 Abg Amir berhenti. Rasanya lebih 10 tahun saya tidak berjumpa kerana saya berpindah pada awal tahun 1998.

Abang Amir sudah kurus berbanding dahulu. Kini sudah mempunyai 3 orang anak.

Tempoh satu jam tidak cukup untuk berbual panjang. Terkeluar juga cerita kemalangan di Pasir Mas dahulu. Tentang bas TATA. Tentang empangan kiblah. Bukit Kiblah di pedas. Mengimbau jarak perjalananan pergi balik asrama dan sekolah di Pedas. Boleh tahan juga jauhnya. Apabila bas TATA rosak, berjalan kaki menuju ke masjid. Jauhnya.

Sesekali di waktu petang, turun ke kolam hadapan sekolah. Memberi ikan-ikan makan. Berakit di kolam yang sama. Masih segar kenangan itu. Masih dirindui nostalgia lalu.

Abadilah kenangan di ruang memori.


Hisham Ahmad © ilmuOne.com

Post to Twitter Post to Yahoo Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to MySpace Post to StumbleUpon