Wah, lebih dari yang disangka! Saya pula yang terasa ketinggalan. Blog Ustaz Nazri kini sudah kembali beraksi. Gandingan Ustaz Nazri bersama Kak Mai melengkapi janji untuk istiqomah menulis di blog tersebut. Amanah yang diberikan kepada saya dulu, saya serahkan kembali.
Buat Ustaz Nazri, Kak Mai dan si comel Najiyya, welcome to the club! We’re the bloggers! ( Najiyya sebagai peniup semangat kepada ibu dan ayahnya).
Blog saya ini pula yang lama tidak berisi! Bukan tidak ada usaha untuk menulis. Cuma tidak bertemu ayat pemula bicara. Kalaupun sudah bertemu, walau sudah separuh ditulis; andai terasa kurang enak pada pembacaan, laju sahaja dipadam segala.
Melihat blog Ustaz Nazri yang saban waktu hadir dengan isi terbaru, saya jadi tercabar. Makanya, saya paksakan juga untuk menulis kali ini. Sedang idea entah di mana, fokus pula menerawang mencari satu titik yang bisa dijadikan tumpuan. Ramadhan… Ramadhan.. Ramadhan.
Ini kisah di bulan Ramadhan. Lebih khusus, di awal Ramadhan.
Allah… permulaan Ramadhan kali ini terasa seksanya. 2 minggu kebelakang aktiviti saya banyak di luar. Ke hulu ke hilir dan dalam masa yang sama memaksa diri tidak mengenali erti penat.
1 Ramadhan saya di Jengka. Bersama kaki kiri yang tergeliat di buku lali. Kaki kanan yang sakit di pelipatan. Sukar sekali duduk di antara dua sujud.
Bahu juga turut terasa sakit. Menjadi kuda kepada anak-anak saudara. Leher turut sama terasa peritnya. Entah tersalah tidur, atau tersalah geleng!
Gigi yang sakit dua tiga hari sebelumnya semakin menyucuk-nyucuk. Di Ramadhan pertama lebih azab sakitnya. Kesannya membawa ke kepala. Sesekali mata turut terseksa. Satu Bandar Jengka saya pusing untuk mendapatkan rawatan. Hospital tutup. Poliklinik tutup. Klinik swasta juga tutup.
Subuh 2 Ramadhan, bertolak dari Jengka menuju tempat kerja di Kuantan. Rasa kantuk sukar dikawal. Akibat kesakitan-kesakitan di tubuh badan, tidur saya tidak lena malam sebelumnya. Di tengah perjalanan, saya berhenti di R & R Maran. Tidur seketika. Bimbang jika diteruskan pemanduan, fokus tidak akan dapat ditumpukan. Saya lewat tiba di pejabat.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, antara lokasi bazaar Ramadhan adalah di hadapan padang MPK, depan pejabat saya bekerja. Saya perlu bersedia menghadapi kesesakan lalulintas! Jam 5.20 petang saya keluar dari pejabat untuk menuju ke rumah yang jaraknya 2 km. Pukul 6.00 petang saya tiba di rumah.
Selesai mengangkut barang-barang dari kereta ke dalam rumah, menyusun apa yang patut, saya perlu bertugas di dapur bagi menyiapkan makanan untuk berbuka. Kepala gas pula rosak! Sebelum saya tinggalkan rumah segalanya baik-baik belaka sebelum ini.
Hilang segala daya dan upaya, saya berbuka dengan segelas air suam dan sebiji kurma. Usai solat terawih barulah mencari makanan di kedai.
Tibanya 3 Ramadhan, kesakitan mula beransur berkurangan. Syukur alhamdulillah.

Hisham Ahmad
Kuantan




Tinggalkan Komen