image050.jpg

Mahu tidak mahu terpaksa juga disingkatkan perancangan berkampung di PWTC. KLBIF (Kuala Lumpur International Book Fair ) tahun ini dengan separuh hati saya selesaikan kembaranya. Walau hasrat ingin lebih lama di sana meluak-luak. Walau ketidakpuasan mengetuk-ngetuk tabir perasaan. Berselang seli rasa terkilan meninggalkan buku-buku yang diingini dibiar tanpa diberi hak menjadi harta warisan saya. Andai buku-buku itu mampu bersuara, pasti bergema panggilan dan raungan meminta saya membawa mereka bersama.

Petang 4 April lawatan pertama bermula. Cadangannya untuk meninjau-ninjau sahaja kerana urusan pembelian akan dibuat hari berikutnya. Langkahan pertama mempertemukan saya kembali dengan Ustaz Yusuf. Tahun 2002 saya pernah bekerja bersama dengannya ketika menjaga Booth Pustaka Darus Salam.

Sempat kami berbicara tentang perkembangan industri buku yang nampaknya semakin rancak. Perubahannya memang ketara. Ustaz Yusuf yang kini sedang bekerja bersama syarikat Jasmeen sendiri menyatakan tentang terdapat ribuan judul buku yang kini sedang dalam perancangan untuk diterbitkan.

image054.jpg

Lambakan novel-novel usah diperkatakan lagi. Saya yang termasuk di kalangan pembaca novel sudah tidak mampu untuk mengambil tahu. Kalaupun hendak membeli, hanya penulis tertentu sahaja yang menjadi pilihan. Bukan tidak meyakini penulisan yang lain, cuma tidak mahu menambahkan senarai penulis pilihan.

Rupanya ada hikmah di sebalik pemberian hadiah saya kepada murabbi saya, Ustaz Nazri al-Maniri yang disegani dan dihormati. Langganan majalah yang saya hadiahi dua bulan lepas menjadi salah satu faktor saya mendapat durian runtuh. Sebelum ini saya dan En Riduan hanya berurusan dengan telefon sahaja untuk menguruskan proses langganan yang dijadikan sebagai hadiah. Setelah bersua muka di booth syarikat tempat dia bekerja, saya mendapat tawaran kos untuk langganan dua jenis majalah dengan kadar yang murah. Mulai bulan hadapan dua buah majalah akan tiba di rumah saya dan begitulah seterusnya untuk tempoh setahun. Alhamdulillah.

Hampir 5 jam berada di sana. Perjalanan pulang saya ditemani beg-beg kertas berisi buku di tangan kanan dan kiri. Saya gagal dalam perancangan untuk meninjau-ninjau sahaja. Hingga kemerah-merahan tangan menahan berat beban jinjingan. Begitulah selalunya. Sebuah buku yang hendak dibeli, selalunya berkesudahan dengan berkali-kali ganda jumlahnya.

image058.jpg

Pagi 5 April sekali lagi kunjungan dijalankan. Kali ini lebih meriah. Berkebetulan dengan cuti hujung minggu, kehadiran penuh sesak. 4 jam berlegar-legar. Hasilnya sekali lagi kedua-dua belah tangan menjinjit beg-beg kertas. Lebih berat dari hari sebelumnya. Buku-buku untuk diri sendiri dan juga untuk dihadiahkan kepada anak-anak saudara.

Seingat saya selalunya jika saya ingin memberikan hadiah kepada seseorang, bukulah menjadi pilihan utama. Jika ada yang bertanya kepada saya apakah hadiah yang sesuai diberikan, acapkali juga saya akan menjawab bahawa bukulah hadiah yang sesuai. Jika penerimanya seorang yang gemar membaca, pasti hadiah itu lebih bermakna. Jika penerimanya bukanlah termasuk di kalangan tersebut, moga-moga buku tersebut menjadi di antara salah satu penyebab untuknya membaca.

Walaupun banyak juga buku yang telah saya beli, namun terkilan juga kerana beberapa buku yang telah ditetapkan sasaran sejak awal tidak berjaya dimiliki. Buku berkaitan Psikologi Sosial yang bersesuaian tidak berjaya saya temui. Dalam kerjaya saya, buku itu termasuk di antara yang terpenting untuk didalami. Kitab Al-Iqna’juga gagal dibeli. Penyebabnya kerana jurujual tidak menemui entah di mana letaknya kitab tersebut. Entah ada entah tiada. Terjemahan Fiqh Manhaji lengkap berkulit keras juga terpaksa saya tangguhkan pembeliannya.

Setibanya di Jengka, ketika melayari internet baru saya ketahui terdapat lagi sebuah buku yang mungkin boleh dimasukkan dalam senarai pilihan. Buku yang baru diterbitkan berjudul ‘Aku Terima Nikahnya’, hasil tulisan Ustaz Hasrizal. Sungguhpun begitu, alternatifnya masih ada. Baca sahaja di website beliau.

cover_01.gif

Sebenarnya saya telah terlebih dahulu membeli buku ‘Satu Rasa Dua Hati’ sehari sebelum ‘Aku Terima Nikahnya’ diterbitkan. Kedua-dua buku tersebut masih dalam kategori yang sama.

buku01.jpg

Buat akhirnya, ada sesiapa yang berhasrat untuk menjadikan buku-buku yang gagal dimiliki tersebut menjadi milik saya?

Hisham Ahmad
11.34 p.m
( 5 April 2008)
Jengka.

Post to Twitter Post to Yahoo Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to MySpace Post to StumbleUpon