i

Sudah memasuki minggu ketiga persekolahan. Anak-anak kita pun mungkin sudah serasi dengan suasana baru — yang baru mengenal alam persekolahan, atau berpindah sekolah. 

Ramai sahabat-sahabat dan kenalan yang menghantar anak-anak ke sekolah yang pelbagai. Taska, tadika, PASTI, Little Caliph — sekadar beberapa nama sebagai contoh. Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan, Sekolah Rendah Islam, Sekolah Rendah Agama, Sekolah Tahfiz bahkan Sekolah Antarabangsa. 

Semuanya saya yakin mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Bukankah selalu kita dengar ibu bapa akan kata “demi masa depan anak-anak”. 
ii

Semalam kami sekeluarga bersiar-siar di Taman Bandar, yang ada 2 tasik di situ, belakang perumahan tempat kami tinggal. Rumah kami tiada tanah atau laman untuk anak-anak bermain. Sebab itu sangat beruntung sahabat-sahabat yang tinggal di rumah yang mempunyai laman. Itu bukan alasan untuk tidak bersyukur dengan tempat tinggal kami. Kurangnya kami dari segi itu, sebenarnya Allah juga berikan kelebihan di sudut yang lain. Hanya kita sahaja yang kadang-kadang tidak cuba mengerti. Kita selalu melihat rumput orang lain lebih hijau dari rumput yang kita ada — jangan kata di rumah tiada rumput kerana inikan perumpamaan.

Menghirup udara segar dan suasana hijau di sekeliling adalah terapi minda. Bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi untuk anak-anak juga.

Dan malam tadi kami suami isteri lenguh-lenguh kaki.
iii

Kita bekerja antaranya untuk keluarga. Kita juga mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak kita. Mantera “demi masa depan anak-anak” itulah yang kita ulang-ulang. 
Rupanya kita mungkin tidak sedar, yang kita harapkan bukan demi masa depan anak-anak sahaja, tetapi demi masa depan kita.

Anak-anak itulah yang bila dewasa kelak adakah akan terus mengasihi kita. Menyayangi. Menghormati. 

Anak-anak yang kaya-raya, tapi melupakan ibu bapanya, mungkin tercapailah hasrat kita demi masa depan mereka. Kita pula dilupakan.

Ya, sebenar-benarnya kita inginkan kebahagiaan, kejayaan bagi masa depan anak-anak dan masa depan kita.

Anak-anak yang kita tinggalkan kelak, yang padanya ada sifat soleh dan solehah. Salah satu di antara tiga perkara yang kita tinggalkan bila saja menutup mata.

Artikel berkaitan:

  1. Relung Masa : Yuran Sekolah
  2. Relung Masa : Ingin Jadi Ustaz?
  3. Relung Masa : Persembahan Dan Penyampaian Hadiah
  4. Relung Masa : Keputusan UPSR Dan Hujung Darjah Enam
  5. Relung Masa : Sindrom Yang Melanda Murid-Murid SK LKTP JXI