Hisham Ahmad

Nota Kehidupan

Ramadhan Yang Masih Berbaki

Maafkan saya kerana tewas juga dengan janji ingin mengisi tulisan-tulisan di blog ini. Saya terpaksa akui bahawa saya masih tidak berjaya mengurus masa dengan baik. Amanah kerja pejabat yang semakin meningkat. Waktu malam juga amat jarang saya menghadap laptop. Balik daripada masjid selalunya akan berehat dengan isteri dan anak-anak.  Hari ini saya usahakan juga agar janji yang saya katakan itu adalah janji yang ditepati. Kali ini sedikit tulisan untuk bacaan semua. Ramadhan Yang Masih Berbaki.

————-

20 Ramadhan. Apa khabar agaknya perjalanan ke arah taqwa yang kita lalui? Hari-hari yang masih berbaki ini masih boleh diperbaiki lagi.

Matlamat ‘MUSLIM BERTAQWA” yang ingin kita gapai seawal Ramadhan ini harus kita teruskan. Walaupun Ramadhan ini masih belum berakhir, namun kita sudah boleh menilai ke arah mana nilai ibadah yang telah kita laksanakan.

Semakin culaskah dalam melaksanakan ibadah wajib?
Semakin bertambahkah amalan sunat?
Mampu dikekangkah rasa kemarahan?
Ringankah tangan menghulur bantuan?
Semakin terjagakah lisan dan segenap pancaindera?
Semakin ramaikah yang teraniaya kerana kita?

Bilamana menyentuh persoalan taqwa, hubungannya bukan hanya secara vertikal antara kita dan Allah. Orang yang bertaqwa menjaga hubungannya dengan Allah juga sesama manusia. Vertikal dan horizontal. Habluminallah dan habluminannas.

Bilamana kedua-duanya saling berpadu, insya Allah kita akan menjadi hamba yang bertaqwa. Segala urusan kita seharian adalah berkaitan dengan hubungan ini. Baik di rumah, pejabat, jalan raya, mahupun di alam maya.

Persoalan akhlak sesama manusia adalah pada sisi pandang hubungan habluminannas. Terlalu banyak hak-hak sesama manusia yang wajib kita tunaikan. Menghubungkan silaturrahmi antaranya. Lebih-lebih lagi menunaikan janji yang telah kita berikan. Orang yang bertaqwa apa yang ada dalam hatinya adalah selari dengan perbuatannya. Biasa kita melihat seseorang mengaku memperjuangkan Islam, namun akhlaknya tidak mencerminkan hal sedemikian. Bahasanya kesat, selalu memperlekeh orang lain, sukar menerima teguran dan seumpamanya.

Akhlak yang terpuji lahir daripada pancaran hati yang bersih. Hati yang bersih , ikhlas ini pula mampu dicapai sekiranya kita menjalani ibadah puasa dan mendirikan Ramadhan dengan berpaksikan kepada keimanan yang kukuh dan mantap. Bezanya berbanding bulan-bulan yang lain ialah kerana peluang untuk melakukan kebaikan adalah terlalu luas dan terlalu mudah. Tempoh sebulan Ramadhan ini sebenarnya mampu membentuk individu yang berubah ke arah kebaikan.

Justeri, hari-hari yang masih berbaki ini marilah kita teruskan dengan matlamat yang sama. Menjadi hambaNya yang bertaqwa. Semoga niat kita yang ikhlas berserta azam yang kuat, Allah akan permudahkan jalan untuk kita.

Hisham Ahmad
Kuantan, Pahang.

 

 

 

 

Hisham Ahmad

Latest posts by Hisham Ahmad (see all)

Artikel berkaitan:

  1. Yang Datang Dan Yang Pergi
  2. Menuju Hujung Ramadhan
  3. Perutusan Ramadhan 1432 H
  4. Di sebalik lapar dan dahaga
  5. Gema Mubarak

Leave a reply