Berkerut dahi juga saya. Mana tidaknya tatkala melihat juadah untuk berbuka. Bukan tidak bersyukur dengan rezeki yang melimpah ruah tetapi kadarnya melebihi apa yang tubuh saya perlukan.

Sebenarnya saya sudah siap menyediakan makanan untuk berbuka. Sepinggan nasi, seekor ikan bakar, kobis dan tomato ( Cherry Honey ) yang dibuat ulam serta dua biji tamar dan segelas air kopi sawda.
( Saya tidak pandai memasak sayur, dan lebih gemar makan ala-ala salad atau bahasa melayunya dibuat ulam sahaja. Budu sudah kehabisan stok).





5 minit sebelum waktu berbuka, anak jiran sebelah datang menghantar makanan. Satu set nasi tomato. Lengkap dengan ayam masak merah dan acar. Kapasiti yang boleh dimakan untuk 3 orang!

Termenung saya di hadapan makanan. Baru petang tadi saya bersenam dan dalam proses mengurangkan berat badan. Makanan yang ada ini hendak diapakan? Mahu tidak mahu kena habiskan juga sebelum esok. Apatah lagi saya agak pantang melihat makanan dibiarkan membazir.

Juga terfikir dalam masa yang sama. Apa hendak saya beri kepada jiran tersebut kelak? Nasi hujan panas? Tomyam? Puding triffle? Atau seperti tahun lepas; 3 bekas besar dadih serta agar-agar berwarna biru?! Terfikir juga hendak memberikan Jus Timun Pasrah, resepi yang baru saya perolehi daripada Dwan. Bahan-bahannya secara kebetulan telah saya beli semalam. Cuma belum cuba membuatnya.

Tidak semena-mena pula teringat pada makanan jepun. Ramen, chikuwabu, natto, oshiriku, bento, kantoudaki, zenzai, okonomiyaki dan banyak lagi! Sudah lama saya berhajat melihat sendiri dan merasai makanan-makanan jepun ini (yang dibuat menepati piawaian halal). Apatah lagi bila mengingati nasi karinya yang mempunyai pelbagai rasa. Drama bersiri Food Detective yang merupakan di antara koleksi DVD saya menjadi sumber saya memperoleh maklumat tentang makanan jepun. Titik.


Kuitan 2. Antara DVD kegemaran saya.

Tradisi bertukar-tukar juadah berbuka puasa sememangnya masih menjadi amalan masyarakat. Mungkin ada yang mengamalkannya kerana sudah diwarisi begitu. Atau mungkin kerana mengetahui ganjaran yang akan diperoleh apabila mengamalkannya. Berdasarkan sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang berbunyi :


Di ambil daripada Software Maktabah Al-Hadith Al-Shariff milik peribadi

“Siapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.
(HR. Tirmidzi)

Ramadhan bulan rahmah dan keberkatan. Jika diteliti hadith di atas, tidak tergambar ganjaran pahala yang akan kita peroleh. Hanya dengan memberi makan orang yang hendak berbuka, kita juga akan diberikan pahalanya.

Anda sudah memberi makan kepada orang lain untuk berbuka puasa?

Hisham Ahmad
Dicatat pada 11.07 malam.
Kuantan

Post to Twitter Post to Yahoo Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to MySpace Post to StumbleUpon