Tags

, ,

“Ayah aku belikan mainan ni”, cerita Nuar dengan rasa bangga. Ketika kami sama-sama bermain perang-perang di bawah rumahnya.

“Sabtu nanti abah aku nak bawak pergi Teluk Cempedak”, cerita Shamrizam dengan rasa gembira.

Pantai?? Wahh.. mesti seronok. Lalu saya menggambarkan suasana pantai sebagaimana dalam gambar yang dilukis bagi matapelajaran Muzik, lagu tentang berkelah di pantai.

“Kalau dapat nombor 1 hingga 10, ayah aku nak bagi hadiah”, penuh teruja Mansor bercerita.

Itu antara bait-bait perbualan ketika bersekolah rendah dahulu. Saya hanya mendengar. Kalau bercerita pun, tidak ada menceritakan apa yang akan ayah saya lakukan. Kerana tidak ada AKAN antara saya dan ayah saya di dunia ini.

15 Februari 1986. Tarikh ayah saya meninggalkan dunia ini.

Hari ini 15 Februari 2014.

28 tahun telah berlalu.

Ketika ayah meninggal dunia, saya hanya berusia 4 tahun.

Saya renung wajah anak-anak saya.

Nur Aqilah. Tahun ini mencecah 5 tahun.

Ketika seusia Aqilah ini, saya sudah bergelar anak yatim setahun lamanya.

Nur Afiqah. Tahun ini 3 tahun.

Di usia seperti Afiqah ini, saya sempat bersama ayah.

Jika hendak dikenang kenangan bersama ayah, hanyalah tinggal cebisan-cebisan memori.

Ketika di sekolah rendah, ketika kami adalah generasi kedua, status anak yatim amat kurang. Para peneroka kebanyakannya dalam usia ‘muda’. 40-an mungkin. Ayah saya meninggal ketika berusia 45 tahun. Mak pula berusia 37 tahun.

****

Di surau Sekolah Rendah Kebangsaan Jengka Sebelas.
Sementara menunggu solat zohor berjemaah.

” Nabi Muhammad suka usap kepala anak yatim”, kata Ustaz ***** sambil mengusap kepala saya.

Sepantas kilat saya dikerumuni kawan-kawan sambil mengusap kepala saya.

Ya. Saya anak yatim.

****

Setiap langkah kehidupan yang di atur, setiap anak tangga mendaki takah usia, walau tanpa ayah di sini, ada monolog yang disampaikan khas buat seorang ayah.

“Ayah, Isam dapat hadiah lagi tahun ni”

“Ayah, Isam jadi pelajar terbaik sekolah tahun ni”

“Ayah, Isam dapat masuk universiti”

“Ayah, Isam sudah dapat kerja”

“Ayah, Isam sudah berkeluarga sekarang”

“Ayah, Isam sudah jadi ayah”

Sukar sebenarnya untuk lafaz ‘ayah’ itu keluar dari lisan kerana ia sering mengundang air mata.

Doaku buat ayah di ‘sana’ tidak pernah putus. Semoga ayah ditempatkan di kalangan para solihin.

Al Fatihah buat ayah yang dikasihi. Ayah yang dirindui. Almarhum Ahmad Bin Bakri.

Artikel berkaitan:

  1. 27 Tahun Lamanya
  2. Mimpi membuah rindu
  3. Relung Masa : Ingin Jadi Ustaz?
  4. Dilema PBAKL 2012
  5. 30 tahun!