Hisham Ahmad

Nota Kehidupan

Yang Datang Dan Yang Pergi

“Ya Allah, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”

Yang Datang

Tibanya waktu maghrib malam ini, maka kita akan menjejak ke tarikh baru; bulan baru, 1 Ramadhan 1433.

Dalam sedikit masa yang masih ada itu, jangan lupa berdoa, ” Ya Allah, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”.

Ramadhan kali ini, insya Allah saya masih lagi di Damansara Kuantan. Tahun kedua selepas berpindah dari rumah sewa.

Pantasnya masa berlalu. Dulu di alam persekolahan, berpuasa di Jengka sahaja. Kemudian peringkat menengah, merasai pengalaman berpuasa jauh di rantau. Pernah di Negeri Sembilan, pernah juga di Bandar Baru Bangi. Kemudian di Jerantut. Memasuki IPT, pengalaman berpuasa di Kelantan dan Kuala Lumpur pula. Selesai tamat di IPT, mengikuti SLG di Melaka dan berpuasa di sana. Kemudian bekerja dan berpuasa di Kuantan. Awalnya sebagai orang bujang, kemudian sebagai suami dan ayah.

Telah banyak Ramadhan yang dilalui, seringkali jauh di sudut hati mengharapkan agar Ramadhan ini bukan hanya tradisi. Hanya pada ritual tetapi kosong pada makna dan rasa.

Ramadhan kali ini juga nampaknya tidak sempat untuk bersama-sama mengimarahkan Surau Muamalat As-Sharif, BDK kerana sehingga semalam, yang ada hanyalah kayu dan pasir di tapak tersebut.

Tapak Surau Muamalat As-Sharif, Bandar Damansara Kuantan

Kembali kepada isi rasa dalam menyambut Ramadhan ini, sememangnya perasaan gembira itu pasti ada. Padanya peluang melakukan kebaikan terbentang luas, hanya kita sahaja yang perlu merebutnya. Jadual kehidupan juga perlu kepada perubahan.  Semuanya ke arah kebaikan, ke arah ketaqwaan.

Bilamana menyebut taqwa, hati bertanya sendiri. Mampukan meraihnya?

Orang yang bertaqwa itu, mampu mengawal amarahnya.
Orang bertaqwa itu, tidak berkira untuk memberi ketika susah mahupun senang
Orang bertaqwa itu, sentiasa menginsafi dosa yang dilakukan.
Orang yang bertaqwa itu, syukurnya sentiasa biar dalam suka mahupun duka.

Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ia lebih mendalam dan mendasar ke dalam jiwa. Ia membentuk keperibadian mulia.

Ramadhan, sambutlah ia dengan rasa kesyukuran.

Yang Pergi

Di sebalik rasa gembira dengan kehadiran Ramadhan, kali ini ada rasa kosong menyelit di celah-celahnya.

Bermula 23 Julai 2012 ( Isnin) ini Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi yang berada di sebelah tempat saya bekerja ini akan berpindah ke Indera Mahkota.

Perpindahan giat dijalankan

Saya terasa kehilangan dua sahabat di sana. Selalu bertemu ketika menapak ke masjid mahupun pulang dari masjid setiap kali waktu rehat. Dua watak yang amat saya kagumi.

Bermula minggu hadapan saya kena membiasakan akan kehilangan mereka. Apa pun jua kehidupan mesti diteruskan. Akhirnya sedikit demi sedikit rasa kosong itu akan hilang juga. Insya Allah.

——-

(i)
Ramadhan datang
penuh rasa gembira
syukur padaNya

(ii)
Dia yang pergi
tinggal sisa kenangan
tabahkan hati

——
Hisham Ahmad

Hisham Ahmad

Latest posts by Hisham Ahmad (see all)

Artikel berkaitan:

  1. Perutusan Ramadhan 1432 H
  2. Keluarga Datang Damansara Kuantan
  3. Kami Pergi Melancong

Leave a reply