Hari-hari tertentu, tentu saja ada kisahnya. Seperti hari ini, 15 Februari mungkin ada yang meraikan sambutan hari kelahiran. Boleh jadi kalian menyambut ulangtahun perkahwinan. Atau kalian menerima cahayamata di tarikh 15 Februari. Pasti gembira tidak terkata.

15 Februari 2017, pada hari ini berita gembiranya buat saya dan isteri bilamana selesai urusan di Majlis Perbandaran Temerloh, LHDN dan SSM berkaitan dengan perniagaan yang didaftarkan di bawah nama isteri saya. InsyaAllah kedai kami akan beroperasi dalam masa terdekat.

Dalam gembira, mengingati tarikh 15 Februari, membuatkan tubir mata saya bergenang. 31 tahun berlalu sejak tarikh itu. Tahun 1986.
Hening subuh 15 Februari 1986, siapa yang menyangka ayah sudah tiada lagi. Hanya jasad terbujur kaku. Tiada lagi helaan nafas. Pemergian yang tidak diduga. Dalam tidurnya yang sementara, ayah tidak lagi bangun untuk bersama emak dan kami 9 beradik.

Di malam terakhir itu juga, usrah yang terakhir ayah hadiri. Malam terakhir ayah bersama-sama jemaah Felda Melati Jengka Sebelas .

Menyusuri denai-denai usia yang saya lalui, bukan sekali saya bertanya sendiri. “Apa rasanya jika ada ayah di sisi?”

Bayangan ayah tersenyum di kala saya pulang dari sekolah.

Senyuman ayah menerima berita kejayaan di sekolah.

Pelukan ayah di setiap suka dan duka.

Nasihat ayah yang menguatkan jiwa.

Realitinya, itu hanya pada gambaran perasaan. Tidak sempat saya merasainya. Yang kekal hanyalah irisan-irisan kenangan yang berakhir di usia 4 tahun. Kenangan yang sentiasa diingati hingga kini.

“Salam kerinduan buat ayah. Dari anakmu yang sentiasa mendoakan”

Hisham

Temerloh, 15 Februari 2017

Artikel berkaitan:

  1. Rindu Ayah (1)
  2. 27 Tahun Lamanya
  3. Dilema PBAKL 2012