b0055

Syawal bakal menjelma tidak lama lagi. Kemeriahan menyambutnya sudah semakin terasa. Namun sesekali hati bertanya, akan kembali ke fitrahkah tatkala meninggalkan Ramadhan ini. Adakah maksud HAMBA BERTAQWA berjaya digapai di 1 Syawal nanti.

Pada lapar dan dahaga yang dilalui, terlenturkah nafsu yang sering meraja diri. Pada solat tarawih yang didirikan, bersihkah jiwa kita dari alpa dan musuh luaran serta.dalaman. Pada alunan zikir dan ayat Al-Quran, tersemaikah rasa penuh kehambaan.

Tuhan, sulit sekali hati ini menafsirkan.

Ramadhan yang ditinggalkan bisakah menjadi medan perjuangan yang akan diteruskan di bulan mendatang. 11 bulan sebelum tibanya  Ramadhan kembali.

Tuhan, di 1 Syawal kelak, layakkah kami melamar kasihMu dengan amalan kami di sepanjang Ramadhan ini. Di saat gembira berhari raya, layakkah kami meraikan kemenangan di hari mulia.

Tuhan, moga bersihlah hati kami meninggalkan Ramadhan ini. Agar kami lebih bersyukur dengan nikmat yang Kau berikan. Agar kami bersifat qanaah atas segala rezeki yang dikurniakan. Moga mudah kami menghulurkan bantuan dari rezeki yang kau amanahkan. Kerana di setiap harta yang di tangan, ada hak orang lain yang wajib kami berikan. Kerana kini kami tahu, harta itu bukan dihati tempatnya tetapi layaknya di tangan. Memberi atas sifatMu yang pemurah bukan kerana ingin bermegah.

Tuhan, di penghujung Ramadhan ini kami insaf pada kekurangan diri. Ramadhan yang dilalui tidak sesempurna mana yang telah kami isi. Moga tarbiyyah yang kami peroleh mampu membina diri kami yang lebih suci dan memahami hakikat hidup di duniawi. Buat bekal menuju akhirat yang lebih hakiki.

Tuhan, moga di Syawal nanti akan terleburlah dosa-dosa kami sesama insan. Moga huluran kemaafan yang diberikan menghapus dendam yang  sekian lama tersimpan.

Pada berkatnya Ramadhan, pada mulianya Syawal kami pohonkan keampunan padamu Tuhan.

kad raya

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin buat semua.

Hisham Ahmad

Kuantan

Post to Twitter Post to Yahoo Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to MySpace Post to StumbleUpon