![]()
MasyaAllah..
buat pengetahuan anta, ana dah lama tak buka webmail ni.. bila ana buka tengok.. banyak email dari anta..
Maaf ye.. ana lambat reply.. berdosa ana kalau terdetik kekecewaan di hati anta..
Secebis balasan emel yang baru saya terima. Memang kiriman emel yang saya hantar tidak berjawab untuk masa yang agak lama. Bahkan saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menerima balasan setelah sekian lama. Namun, balasan emel ini cukup menjadikan saya terpaku.
Mata terpaku pada baris ayat ‘berdosa ana kalau terdetik kekecewaan di hati anta..’
Jarang diterima permohonan maaf sebegini yang disertakan rasa kekesalan dan mengaitkan dengan dosa. Selalunya hanya sekadar meminta maaf. Maaf yang dipohon mungkin kerana rasa bersalah. Namun, adakah selalunya disertakan dengan rasa kemungkinan adanya dosa?
DOSA DAN PAHALA
Andai persoalan dosa dan pahala sudah tidak dipedulikan, ke mana penghujung jalan kehidupan hendak dituju?
Kita tidak tahu pahala kita yang mana yang boleh menjadi penyelamat kita untuk ke syurga. Bahkan kita tidak tahu dosa kita yang mana yang mungkin bakal menghumbankan kita ke lembah neraka.
Ramadhan sudah menuju ke penghujungnya. Dalam kita berpuasa, terfikirkah kita akan dosa dan pahala ini? Kita boleh menahan rasa hati untuk makan dan minum dan segala macam perkara yang membatalkan puasa. Dalam masa yang sama kita lupa pada kewajipan yang lain.Lupa pada tegahan agama.
Di kala bersendirian, kita masih mampu menahan diri atas alasan kita berpuasa. Begitu besar sifat ihsan kita ketika berpuasa sehingga tidak berani mencuri makan.
Kamu beribadat seolah-olah kamu melihat Allah, jika kamu tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihat kamu.
Tetapi ibadat yang lain, tidak terasa pula sifat ihsan ini. Sewenang-wenang berbuat dosa.
Andai dibukakan hijab dosa dan pahala ini, sudah pasti kita akan berusaha menambah pahala dan menghindarkan dosa.
Salam 27 Ramadhan.
Hisham Ahmad
Kuantan


Tinggalkan Komen