“Ustaz, saya sebenarnya marah kalau ada yang kata orang Melayu, Islam sahaja yang banyak terlibat dengan gejala sosial. Dalam berita, suratkhabar, termasuklah slot kursus kita pagi tadi pun masih kata perkara yang sama. Seolah-olah kita saja yang sumbang”, tiba-tiba En. Abd Rahman bersuara kepada saya.

Ketika itu kami berada di meja makan dan hampir selesai. Aktiviti makan itu juga adalah aktiviti terakhir sebelum semua peserta pulang.

“Ustaz rasa kenapa terjadi begitu?”, soalan pula ditujukan kepada saya.

“ Bagi saya, antara puncanya ialah penguatkuasaan dan juga nilai budaya”, saya cuba memberikan jawapan umum. Jawapan khusus tidak perlu rasanya saya nyatakan dahulu.

“ Oh, nampaknya ustaz bersetuju dengan saya”. Pantas dan bersemangat jawapannya.

“ Bila timbul isu khalwat, tidak boleh tidak memanglah orang Islam yang dimasukkan dalam statistik. Pernah kita dengar tangkapan khalwat untuk agama lain? Mana ada! Sebabnya itu bukanlah suatu yang asing bagi mereka. Nilai budaya mereka juga tidak sama”, tambahnya lagi.

Perbualan berlanjutan dan mula melompat dari satu perkara ke satu perkara.

Isu penguatkuasaan antara orang Islam dan bukan Islam sudah lama timbul. Malah di dalam kuliah dan kelas tutorial sepanjang pengajian saya di APIUM juga perkara ini telah dibentangkan. Undang-undang Syariah yang terpakai di Malaysia bermaksud ia hanya berkisar di kalangan orang Islam sahaja.

Kini Resolusi Seminar Semakan Korpus Undang-undang Syariah telah dikeluarkan. Cadangan supaya penglibatan secara bersama antara orang Islam dan bukan Islam dalam sesuatu kesalahan atau jenayah syariah hendaklah dihukum dengan hukuman yang setimpal telah diutarakan. Apa maknanya?

Katakanlah di dalam kes khalwat, didapati pihak yang terlibat ialah orang Islam dan bukan Islam, maka mengikut sifir semasa, hanya orang Islam sahaja yang boleh didakwa atas tuduhan tersebut. Maka dicadangkan supaya orang bukan Islam ini juga perlu didakwa dan forumnya adalah di Mahkamah Sivil.

Timbullah pula kenyataan bahawa itu boleh menafikan HAK orang bukan Islam. Apakah itu boleh dinamakan hak? Hak untuk berkelakuan sumbang? Hak untuk berzina? Di mana erti moral? Di mana pula letak duduknya kesopanan?

Berbicara tentang moral, sopan dan susila ini juga panjang ceritanya. Ada baiknya kita kembali kepada perkara asas yang perlu diketahui oleh rakyat Malaysia.

Kisah 31 Ogos 1970

Sempena ulangtahun kemerdekaan kali yang ke -13, telah diisytiharkan satu doktrin bagi mencapai perpaduan kaum demi kemakmuran dan keharmonian Malaysia iaitu RUKUN NEGARA.

Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan Dan Kesusilaan

Lima prinsip yang telah digagaskan untuk membentuk sebuah RUKUN NEGARA. Di mana janji itu?

Tidak perlu rasanya saya ulaskan 4 prinsip yang pertama. Lihat saja pada ‘Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara”. Benar-benarkah setia pada Raja? Keluhuran Perlembagaan? Kedaulatan Undang-undang? Undang-undang yang mana? Membela atau menindas? Titik.



Kesopanan dan Kesusilaan

Majalah-majalah picisan yang dibenarkan penerbitannya kini memang benar-benar memaparkan kesopanan dan kesusilaan. Sungguh sopan. Sejuk mata memandang. ( Sila terjemahkan dengan maksud berlawanan).

Rancangan-rancangan televisyen juga tidak mahu ketinggalan. Dari drama hingga program realiti. Sungguh sopan dan bertatasusila. Apa khabar pihak berkenaan?

Tertanya-tanya juga saya di mana aplikasinya Rukun Negara ini. Dalam bahasa kasarnya, jika sudah tidak mahu memandang Rukun Negara, mengapa tidak dibuang saja?

Di mana hak saya untuk menerima input yang penuh dengan paparan sopan dan susila? Di mana juga hak saya untuk melihat undang-undang moral dikuatkuasa agar terlaksana janji-janji membentuk masyarakat yang harmoni?

Moga-moga mimpi mampu bertukar menjadi realiti.

Hisham Ahmad

Post to Twitter Post to Yahoo Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to MySpace Post to StumbleUpon