sc0042

Sedutan bual bicara di Yahoo Messenger.

Hisham :…………………………
Abg Man : …………………………
Hisham  : Bangman tak pergi makan ke?
Abg Man : Puasa
Hisham : Ooo… Alhamdulillah.
Abg Man : Orang yang banyak dosa macam Bangman ni, kena banyak tebus dosa.  Kena usaha tambah pahala.
Abg Man : Banyak masa dihabiskan untuk maksiat. Sikit je untuk Allah. Itu pun tak tau diterima atau pun tidak..
Hisham : ……………………………
Abg Man : …………………………………

Terima kasih Allah, kerana KAU kurniakan aku sahabat yang mengingatkan pada jalan kebaikan.

(Teman-teman akrab pada hari kiamat kelak, sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa.  Surah al-Zukhruf: 67 )

Entah berapa kali dalam sehari kita memikirkan tentang dosa. Dosa yang meracun hidup kita. Dosa yang mendatangkan rasa resah dan gelisah tatkala melakukannya. Dosa yang menyingkirkan ketenangan di permukaan tasik hati yang riaknya mula sirna.

Sekali melakukan dosa, terasa kesal melanda. Namun, seringkali juga tewas pada godaan. Dosa terus dilakukan. Kian lama rasa resah mula pudar, rasa gelisah mula terasa hambar. Dosa tidak menjentik jiwa yang lemas dihanyut arus alpa. Lalu, kita teruskan lagi membuat dosa.

Alangkah beruntung kita, andai saat alpa dengan dosa, kita kembali menagih ampun dari DIA Yang Maha Pengampun. Merintih kerana kesal membiarkan jiwa kita pedih dan tersisih lantaran panahan dosa yang menipu. Mengatakan nikmat sedang pada hakikat adalah musibat.

Dalam rendah sujud hamba, menginsafi kekerdilan diri ada sinar menanti untuk kita kembali pada fitrah azali. Beruntung andai itulah kita.

Namun, kesabaran makhluk bernama Syaitan teramat tinggi. Sabar mengajak terus kepada kejahatan. Kita yang tersungkur terus akur. Dosa sudah menjadi perkara biasa. Tertipu oleh usia yang dikurnia. Kononnya masih ada esok untuk memohon ampun. Sedang kita terlupa setiap saat, setiap ketika, waktu kematian kita semakin menjelma.

Kita tewas lagi. Bukan dosa saja dianggap biasa. Malah peluang sentiasa diusaha agar kita boleh mengulang dosa. Dosa adalah kebanggaan. Dosa lambang kebahagiaan. Jauh sudah kita diperdaya,

Tapi, jika ditanya pada hati, pasti terdetik jua malu pada diri. Kita hamba yang engkar dan hina. Melupakan DIA sedang DIA sentiasa menanti kita.

Oleh itu, pesanku pada sahabat, lebih-lebih lagi pada diri sendiri. Usah tertipu dengan dosa. Andai jiwa resah kerana berdosa, ingatlah itu tanda kasih DIA pada kita. Mengingatkan agar tidak hanyut di bawa arus derhaka.

Usah kita tertipu pada nikmat sementara, kerana ia adalah kejahatan yang membawa kederhakaan. Andai pernah terlanjur dosa, segera kembali menagih maghfirah Ilahi. Kesilapan jangan sengaja diulang. Bimbang akan tiba pada kederhakaan yang lebih panjang.

Wahai jiwa kerdil, jiwa kau dan aku. Jangan mudah menyerah kalah. Kita berdosa kerana kita lemah. Teruskan langkah mujahadah. Berteguhlah! Walau sering alpa mengejar ketaatan, jangan pula kita tega pada kejahatan dan kemaksiatan. Biarlah menitis air mata kerana kesal dan menyesal. Asalkan tidak kita berbangga dengan tingkah yang menghasilkan dosa. Ingatlah, lebih baik menitiskan air mata kerana menyesal atas dosa yang dilakukan, berbanding amal kebaikan yang menimbulkan rasa takbur di hati kita.

Kuatkan tekad, pasakkan azam untuk terus bermujahadah!

Hisham Ahmad
Kuantan, Pahang

Post to Twitter Post to Yahoo Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to MySpace Post to StumbleUpon