Telah berlalu bulan penuh rahmat.Bulan Ramadhan.

Sesekali timbul kekesalan kerana alpanya tika itu. Mungkin kita berjanji sebelum tibanya Ramadhan untuk mengisinya dengan segala kebaikan. Mungkin di saat tibanya Ramadhan kita terlupa janji itu. Terlupa rindu yang pernah bertamu.





Kekesalan mula bertandang. Lalu kita mula menganyam rindu untuk dibentangkan pada Ramadhan akan datang. Tibanya Ramadhan sekali lagi, mungkin kita alpa lagi. Semoga dengan kekuatan iman, itu tidak akan terjadi pada kita lagi.

Hari ini kita berjanji ingin berubah. Semangat, azam dan tekad kita sematkan. Selalu terjadi juga, kemudian kita lupa lagi.

Usahlah bersedih. Usahlah berputus asa.

Benar iman kita adakalanya bertambah. Adakalanya juga iman kita akan berkurang. Kita manusia biasa. Andai terasa iman mula berkurang, carilah jalan untuk meningkatkannya. Berbicaralah dengan Tuhan Rabbul Jalil di dalam doa. Dengarlah bicara Ar-Rahman, melalui kalamNya yang agung. Semoga ketenangan akan hadir. Semoga iman yang mula menurun tidak akan dibiarkan terus berkurangan.

Ketika terasa diri berdosa, segeralah kembali pada jalan pulang. Hati yang bersih akan gelisah pada dosa yang akan membawa ke lembah neraka.

Janganlah ketika berbuat berdosa, kita merasa selesa. Seolah tiada beza antara pahala dan dosa.

Jangan pula ketika berbuat dosa kita berasa bangga. Maksiat yang dilakukan dianggap satu kejayaan. Dosa diangkat tarafnya melebihi pahala.

Peliharalah iman kita. Dunia ini bukan untuk kita selamanya.

Hisham Ahmad
Kuantan
9.40 malam

Post to Twitter Post to Yahoo Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to MySpace Post to StumbleUpon