
Jari-jemari terasa kaku menari di atas papan kekunci. Langkahnya sumbang. Berkali-kali tulisan terpaksa diolah semula. Cuba menulis sesuatu di ilmuone ini. Rupa-rupanya kali terakhir saya menulis ialah 18 September 2009. Melewati 3 bulan lamanya.
Hari ini 2 Januari 2010. Memasuki tahun baru menyedarkan saya untuk menilai tahun lalu yang telah ditinggalkan. Serta merancang untuk masa-masa mendatang.
Segala macam rasa silih berganti sepanjang perjalanan kehidupan yang telah berlalu. Mengambil pengajaran untuk pedoman di masa depan adalah langkah terbaik kerana seorang mukmin perlu memastikan hari-hari mendatang adalah lebih baik dari yang sebelumnya.
Mendepani hari depan, saya terbayangkan senyum indah sakura yang sentiasa menggamit rasa hati saya. Sakura yang indah.

RAHSIA SAKURA
Sakura berkembang tidak lama. Tempohnya mungkin antara 7 hingga 10 hari dalam setahun. Selepas itu bunga-bunga sakura akan berguguran. Pohon sakura yang tidak berbunga mungkin tidak dipandang lagi, tetapi awal Haru ( Musim Semi) akan tetap ditunggu pada tahun hadapan, kerana saatnya sakura berkembang.
Falsafah pada sakura ini mudah. Ia memberikan ketulusan, kemanfaatan dan keberanian.
Dengan rasa penuh tulus, sakura menghadiahkan keindahannya kepada manusia. Walaupun dilupakan selepas musim berkembang, sakura tetap hadir di tahun mendatang untuk memberikan keindahan. Keindahan yang membahagiakan. Lantas ia mengajar erti ketulusan dan keikhlasan pada kita. Memberi tanpa mengharapkan balasan.
Walau siapa pun kita, tanamkan keikhlasan dan ketulusan di setiap peranan. Sebagai anak mahupun sebagai ibu dan bapa; sebagai suami atau isteri, sebagai pekerja atau majikan atau sesiapa pun jua. Memberi tanpa memikirkan balasan sebagai imbalan utama.
Tatkala musim sakura berkembang, bermulalah Festival Hanami (Viewing Cherry Blossom) di Jepun. Keindahan sakura mendatangkan rasa ceria dan bahagia. Itulah manfaatnya sakura. Semoga kita mampu menjadi seperti sakura, yang hadirnya memberi manfaat.

Haru ni yoruto yokatta desu ne …
Setiap datang musim semi, suasana menjadi indah …
Sakura dan Samurai tidak boleh dipisahkan. Falsafah pada sakura diambil kaum Samurai pada sepanjang kehidupan dan tatkala di akhir hayat.
Sakura mekarnya seketika. Begitu juga dengan hidup manusia. Oleh itu, Kaum Samurai mengambil falsafah bahawa sepanjang kehidupan mereka, mereka perlu hidup dengan penuh maruah. Sebagaimana bunga-bunga sakura yang gugur ditiup angin, maka mereka menerima kematian dengan rela. Bila pun tiba masa kematian, sependek mana tempoh kehidupan, mereka menerimanya kerana sepanjang tempoh mereka hidup, mereka telah mengisinya dengan perkara yang bermanfaat dan telah menjalani kehidupan dengan penuh bermaruah.
Begitulah juga falsafah keberanian pada bunga sakura. Bagi Samurai, keindahan sakura juga pada saat gugurnya. Sakura yang gugur tetap indah. Bagi mereka puncak keindahan perjuangan mereka ialah tatkala mana mereka gugur dalam membela kebenaran.
PEDOMAN DARIPADA SAKURA
Bermula hari ini elok kiranya kita mengambil falsafah KETULUSAN, KEMANFAATAN dan KEBERANIAN dalam kehidupan kita.
TULUS dan IKHLAS dalam memberi dan melaksanakan tanggungjawab.
Menjalani kehidupan dengan memastikan segalanya memberikan MANFAAT kepada orang lain dan mengisi tempoh jangka hayat yang sebenarnya pendek ini dengan perkara yang BERMANFAAT.
BERANI dalam menjunjung kebenaran.
Hisham Ahmad
Kuantan


Tinggalkan Komen