c0006

Petang itu cuaca redup. Menemani kami dalam satu pertemuan yang sudah dirancang. Saya dan Ustaz Zamri sudah berjanji untuk bertemu di restoran SOHO Sungai Merab.

Pertemuan dengan Ustaz Zamri seringkali memberikan ibrah kepada saya. Ketika di SMKA TAHAP, beliau adalah ustaz saya. Bertemu semula di APIUM dalam pertemuan singkat. Ustaz Zamri menyambung pengajiannya di peringkat Sarjana. Saya masih bergelut pada takah bakal bergelar graduan sarjana muda. Mengejar segulung ijazah yang belum pasti menjanjikan sebuah pekerjaan.

Pertemuan kali ini saya sudah bekerja. Namun, Ustaz Zamri akan selamanya menjadi ustaz saya. Mulianya pendidik, walaupun seabad yang akan berlalu, panggilan keramat itu tetap tidak akan putus. Bukan lahir dari ucapan mulut semata, tetapi lahir dari suara hati yang penuh rasa penghormatan.

Masih terngiang-ngiang perbualan kami.

“Syam, enta selalu menulis blog ke?”, Tanya Ustaz Zamri.

“Bergantung pada keadaan juga ustaz. Ada masa terlalu sibuk. Ada masa tidak tahu apa yang hendak dituliskan”, jawab saya.

“Ustaz ada terfikir juga hendak buat blog, tapi selalunya tidak sempat”, ujar Ustaz Zamri.

“Ustaz selalu bagi ceramah kan?”, Tanya saya. Sekadar untuk kepastian.

“Selalu. Tapi ada masanya ustaz akan tolak”.

“Kenapa ustaz?”

“Sebab kita sebagai manusia ada masanya iman kita akan naik. Ada masanya juga iman kita akan turun. Bila ustaz rasa waktu itu iman turun, ustaz takut apa yang ustaz nak sampaikan itu bukan daripada hati”.

“Bila bukan daripada hati, mungkin waktu itu apa yang hendak disampaikan hanya sekadar terawang-awang. Umpama melepaskan batuk di tangga”, tambah Ustaz Zamri.

“Memberi dari hati, kan ustaz?” balas saya.

“Ya, kita biasa dengar, dari hati turun ke hati. Insya Allah kalau apa yang kita katakan itu benar daripada hati kita, penuh keikhlasan, Allah akan mudahkan hati mereka yang mendengarnya. Terus menusuk ke dalam jiwa”, jawab Ustaz Zamri.

“Tapi, di situ masih ada lagi yang tidak dapat sampai ke hati. Bukan begitu ustaz?” balas saya diikuti pertanyaan.

“Memang betul. Banyak faktor juga yang menjadi punca. Iyalah, kadang-kadang bila bagi kuliah ataupun ceramah, ada tetamu yang tertidur. Tak boleh disalahkan juga. Kita kena faham juga erti keletihan”.

“Itu salah satu penyebab juga. Saya pun kadang-kadang bila terasa letih, tak dapat juga nak serap apa yang disampaikan masuk ke dalam hati walaupun penceramahnya hebat.”Saya mengiyakan.

“Bagi ustaz, kita sebagai da’I, pokok pangkalnya kita kena pastikan apa yang kita hendak beri adalah dari hati. Kita ikhlas hendak memberi. Kita ikhlas hendak mengajak kepada kebaikan. Juga kita ikhlas mengajak meninggalkan kemungkaran dan kemaksiatan”.

“Dalam masa yang sama, personaliti kita juga kena jaga. Bagaimana akhlak kita. Juga jangan lupa, tambah ilmu lagi.” Tambah Ustaz Zamri.

b0132

DARI HATI

Lama sudah perbualan itu. Saya cuba pasakkan dalam hati saya. Memberi dari hati. Hati yang ikhlas. Agar dapat disentuh hati-hati yang lain.

“Abang jangan la downgradekan ilmuone”, kata isteri saya pada satu ketika.

“Maksudnya?”, Tanya saya.

“Kalau boleh, isikan dengan entri-entri yang banyak pengajaran. Bukan sekadar catatan kosong”.

Saya akur. Saya akui hal itu. Memang saya ingin berikan yang terbaik. Namun halangannya satu. Memberi dari hati.

Merangka baris demi baris ayat. Menterjemahkan dari hati dalam bentuk penulisan, itu bukan tugas mudah bagi saya. Menghadirkan ikhlas seiring taipan di keyboard ini memerlukan azam yang kuat.

Itu mungkin sekadar alasan.  Mungkin pula benar itulah halangannya!

TAUTAN HATI

Menghubungkan hati, mudahkah tugasnya? Atau solan lainnya; menghubungkan hati, sukarkah tugasnya?

Saban waktu dunia berdepan dengan pelbagai sifat mazmumah, jenayah, fasadah. Pelajar sekolah berlagak samseng. Ibu bapa bersifat kejam pada anak-anaknya. Anak-anak kurang rasa hormatnya. Khianat, dengki, fitnah beleluasa.

Bila ibu bapa tidak mendidik dari hati.

Bila pelajar dan pendidik tidak terasa jalinan hati.

Bila pendakwah lupa menghadirkan ikhlas dalam hati.

Segalanya berkait dengan hati. Hilangnya sentuhan hati ke hati.

Semoga Allah mudahkan hati kita untuk memberi. Memberi ikhlas dari hati. Baik kita sebagai ibu bapa, pendidik, penceramah, penulis atau sesiapa sahaja.

Besarnya peranan hati.

Hisham Ahmad
Kuantan

Post to Twitter Post to Yahoo Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to MySpace Post to StumbleUpon