“Takkan la dengan kawan pun tak nak bagi diskaun? Bagi la harga yang murah. Kalau boleh yang kaw-kaw punya”, kata Johan kepada kawannya Badrul yang memiliki kedai buku.

“Kita beli dekat kedai Radzi je lah. Boleh minta diskaun banyak-banyak”, Farid mencadangkan kepada Syahir.

“Shoot lawa-lawa tau nanti. Lepas tu engkau edit la guna photoshop. Kalau nak caj jangan la mahal-mahal. Tak pun free aje la. Bila lagi nak tolong kawan”, kata Zainal kepada Latif ketika menyatakan hasratnya untuk melantik Latif sebagai jurufoto di majlis perkahwinannya sekaligus merangkumi tugasan menghasilkan output yang menarik.





Pemikiran ini bukannya asing. Mungkin kita sendiri pernah mengungkapkannya. Walaupun dengan bahasa yang berlainan tapi maksudnya tetap sama. Malah dalam pelbagai situasi pun kita cuba mempraktikkannya.

Pernahkah kita terfikir, apakah yang terselindung di sebalik sisi gelap bicara kita itu? Jawapan kita mungkin berbeza. Biar saya nyatakan jawapan bagi pihak saya. Kita adalah orang yang mementingkan diri sendiri! Kita sedang mempergunakan orang lain dengan ugutan yang terselindung! Kita adalah kawan makan kawan. Kita juga adalah saudara yang cuba membunuh saudara!

(Jangan marah! Nanti kena jual. )

Kita inginkan kepuasan dan dalam masa yang sama, kita menyeksa pihak yang lagi satu. Namun kita menganggapnya sebagai berbaloi atas alasan dia itu sahabat kita, juga atas alasan hubungan persaudaraan. Kita melihat alasan yang menguntungkan bagi pihak kita. Tidak perlu mengeluarkan kos seperti orang lain. Kemudian kita berbangga kerana mendapat khidmat dan barang dengan harga yang murah. Kalau boleh ingin secara percuma.

Alangkah baiknya kalau kita adalah begini :

“Hisham, buku-buku ni kira dengan harga biasa la. Sama macam pelanggan lain. Engkau berniaga, kena ada pusingan modal. Sebab tu saya beli kat kedai engkau. Daripada beli di kedai yang saya tak kenal, baik beli dekat engkau”

“Tak payah la bagi harga murah-murah macam tu. Kalau semua kawan engkau nak kena bagi murah, habis macam mana dengan bisnes engkau?”

Bukankah lebih baik begini. Menjadi sahabat yang menolong sahabat. Bukan mencari kesempatan atas nama persahabatan.

Mungkin terkadang sahabat / saudara kita sendiri yang menawarkan. Itu juga perlu difikirkan berulang kali. Mungkin benar kerana keinginannya untuk berbuat demikian. Atau mungkin juga timbul rasa ’segan’ jika tidak berbuat begitu.

Mencari posisi terbaik, renung-renungkan apa yang sepatutnya kita lakukan.

Hisham Ahmad
( Setelah beberapa lama tidak menulis… :( )

Post to Twitter Post to Yahoo Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to MySpace Post to StumbleUpon