Hari demi hari, langkah terus disusuri. Meninggalkan setiap detik yang berlalu dalam kehidupan. Segalanya kita tinggalkan dalam ruang memori yang muncul sesekali dalam irisan-irisan kenangan. Saat kita bersimpuh dalam ketaatan. Saat kederhakaan menerobos mendominasi ruang fikir pada paksi tauhid terhadap Yang Maha Esa.

Asyiknya kita pada buaian dodoian syaitan, bertelingkah itu dan ini. Lantas sering kita berujar, telah banyak doa yang kita panjatkan, mengapa tidak segera diperkenankan. Sudah kita abdikan pada ibadat wajib dan sunat, mengapa kita masih lagi dikecewakan. Mengapa DIA masih mahu menduga kita?

Dengan akal yang sempit, dada yang kian terhimpit, kita menyalahkan setiap apa yang berlaku. Meyakini kitalah insan yang tidak punya apa-apa. Melupakan pada sayangnya Tuhan pada kita. Lupa pada segala yang ada pada kita. Dari tidak ada kepada ada. Mengizinkan kita bernafas dalam menghirup sari kehidupan. Memimpin kita beranjak dari satu takah ke satu takah. Hingga ke saat ini, kita masih di sini. Apakah selayaknya hanya kerana sedikit rassa kecewa kita menyangkal kurniaan yang telah kita terima?

Jika tidak kerana sayangNYA, mungkin telah bergunung-ganang azab menimpa kita. Namun, masih ada sayang itu, kita diberi kesempatan mencari izzah pada setiap kejadian.

Jika tidak kerana kasihNYA, telah dipaparkan segala penderhakaan kita pada yang terang mahupun sembunyi. Membuka segala keaiban kita. Menjadikan kita hina sehinanya atas muka bumi ini. Kerana adanya kasih itu, masih kita terpelihara. Masih kita berpeluang merebut setiap ganjaran yang dijanjikan pada setiap amal kebaikan.


Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak
dustakan (Wahai umat manusia dan jin)
Ar-Rahman 55:13

Tidak ada salahnya untuk kita merenung kembali setiap dosa yang kita lakukan. Agar padanya terbit rasa keinsafan, agar terbuka pintu hati memohon keampunan. Selagi mata ini masih lagi tidak terpejam. Sebelum mata ini terus tertutup rapat. Menutup segala pintu taubat.

Usah disangkal lagi setiap kurniaan. Kesusahan itu hanya sekelumit jika dibanding dengan nikmat dan pemberianNYA. Nikmat kehidupan untuk kita membuktikan kitalah hamba yang sentiasa taat padaNYA.

Semoga Allah mengembalikan kita pada fitrahNya. menjadikan rasa syukur sebagai penawar jiwa dari segala resah dan gelisah. Kerana kita hambaNya yang sering diuji dengan susah dan senang.

Hisham Ahmad

Post to Twitter Post to Yahoo Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to MySpace Post to StumbleUpon