Menuju Hujung Ramadhan
24 Ramadhan. Janji tinggal janji. Janji untuk menulis di blog ini secara istiqomah di bulan Ramadhan ini nampaknya tidak kesampaian. Bermula ketika tahap kesihatan agak merudum, kemudian disusuli dengan kesibukan hal-hal lain menyebabkan saya hanya mampu memandang blog ini yang kosong.
Untuk itu, kali ini terimalah dari saya, catatan ringkas buat pembakar semangat kepada diri sendiri.
TABAHLAH UNTUK MUJAHADAH
Sesekali tersungkur jua dalam langkah mendekatkan diri kepada Allah. Tempoh sebulan yang penuh barakah dan rahmah ini begitu pantas berlalu.
Ketika menanti Ramadhan, hati berkata rindu. Ketika tiba di gelanggang Ramadhan, pencak langkah mula kaku. Hilang segala buah dan bunga. Akhirnya terbaring lesu. Seakan tidak terdaya membuka langkah
Namun, bisikan-bisikan kebaikan masih berusaha menaikkan semangat. Bermujahadahlah wahai hamba Allah. Dalam sedikit masa yang masih ada ini, teruskan perjuangan.
Terkenang saya pada pesanan seorang murabbi saya yang amat saya kagumi. Katanya:
“Mungkin kita akan terasa lelah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bermesra dengan amal kebaikan agar terbit rasa cinta. Perasaan malas itu akan menyerang kita. Kepenatan akan menghalang langkah yang kita atur. Tapi, ingatlah.. Dalam masa yang sama ada sahabat-sahabat kita yang begitu istiqomah. Bersunyi-sunyian di waktu malam menghadap Allah. Memperbanyak membaca Al-Quran. Mereka juga penat, sama seperti kita. Bahkan mungkin lebih penat daripada kita. Tetapi itu tidak menghalang mereka.”
Semoga dalam edaran waktu menuju ke penghujung Ramadhan ini, kita tidak akan terus berhenti. Ramadhan ini akan berakhir. Keberkatannya juga akan berlalu. Masa yang lalu pastinya tidak akan kembali. Tunggulah Ramadhan akan datang jika masih diberi kesempatan untuk bertamu di bulan rahmah. Namun, ketahuilah bahawa, kita adalah hamba Tuhan. Hamba pada setiap ketika. Bukan hanya ketika di bulan Ramadhan sahaja.
Bermujahadahlah sentiasa!
Hisham Ahmad
Kuantan, Pahang.
Hisham Ahmad
Latest posts by Hisham Ahmad (see all)
- Pasca PRU13, Pandangan Saya - 8 May, 2013
- Penamaan Calon PRU 13 - 19 April, 2013
- Buku : Aku Bercerita - 18 April, 2013
Artikel berkaitan:

Facebook
Twitter
GooglePlus