Perutusan Ramadhan 1432 H
Sudah melangkah ke 2 Ramadhan tetapi saya masih belum sempat menulis apa-apa yang berkaitan dengan Ramadhan di sini. Supaya tidak kelihatan agak terlewat mungkin, maka di sini saya copy and paste perutusan Ramadhan yang saya sediakan untuk ruangan KRISPA JKSP. Semoga selepas ini saya mampu menulis lagi di blog ini.
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Firman Allah S.W.T :
“Wahai orang-orang yang beriman. Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan kepada umat terdahulu daripada kamu agar kamu menjadi orang yang bertaqwaâ€
(Al-Baqarah : 183)
Alhamdulillah. Kita kini telah melangkah ke bulan yang penuh barakah. Bulan yang padanya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana dijanjikan pahala berganda pada setiap amal kebaikan yang dilakukan. Bulan yang diturunkan Al-Quran, iaitulah bulan Ramadhan Al-Mubarak. Ramadhan yang penuh barakah.
Di kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada diri saya sendiri dan juga warga KRISPA sekalian agar kita sama-sama berdoa kepada Allah semoga dibukakan pintu hati kita agar disirami taufiq dan hidayah dari Allah S.W.T untuk menjadi hamba-Nya yang bertaqwa.
Sebagaimana di dalam firman Allah yang telah saya sebutkan terdahulu, antara natijah atau matlamat akhir daripada ibadah berpuasa yang diwajibkan ke atas kita ialah agar menjadi hamba yang bertaqwa. Justeru, dalam usaha untuk menjadi hamba yang bertaqwa ini, perkara paling utama ialah adanya taufiq dan hidayah daripada Allah.
Melalui hidayahNYA, semoga kita diberi kekuatan menjalani ibadah puasa bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga. Bahkan lebih jauh daripada itu, agar puasa kita mampu berada pada tahap puasa khusus al khusus iaitulah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, menjaga pancaindera, tetapi hatinya juga turut berpuasa.
Tidak cukup dengan itu, semoga hidayah dariNYA juga akan memberikan kita kekuatan untuk mendampingi Al-Quran, memperbanyakkan membacanya juga mentadabbur mencari segala panduan buat kita menjalani kehidupan di dunia ini untuk kejayaan di akhirat kelak.
Bagi sambutan Ramadhan pada tahun ini, Barisan Kepimpinan KRISPA telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran pada setiap hari sepanjang bulan Ramadhan ini. Justeru, besarlah harapan kami agar warga KRISPA sekalian memberikan kerjasama dan sokongan yang padu atas usaha kecil yang dijalankan ini.
Buat akhirnya, sekali lagi saya menyeru diri saya dan warga KRISPA sekalian agar kita sama-sama berusaha menjadikan Ramadhan ini adalah Ramadhan yang terbaik daripada yang telah kita lalui terdahulu. Isikanlah dengan segala amal kebaikan, banyakkanlah sedekah, dirikanlah solat malam dan carilah Lailatul Qadar, kerana kita belum pasti sama ada kita akan bertemu lagi Ramadhan akan datang.
Selamat mengimarahkan bulan Ramadhan.
Ramadhan Kareem!!
Nor Hisham Bin Ahmad
Pengerusi
Kelab Kebajikan Dan Rekreasi
Jabatan Kehakiman Syariah Pahang
2011/2012
Hisham Ahmad
Latest posts by Hisham Ahmad (see all)
- Pasca PRU13, Pandangan Saya - 8 May, 2013
- Penamaan Calon PRU 13 - 19 April, 2013
- Buku : Aku Bercerita - 18 April, 2013
No related posts.

Facebook
Twitter
GooglePlus