kahwin

Kupimpin tanganmu oh kasih meniti hari, semoga kita dapat bersama sampai kepadaNYA.. di Syurga sana.

Masihkah kau ingat saat lafaz diijab kabulkan detik itu? Kau dan dia berjanji setia hidup bersama. Rela menempuh segala apa yang menerpa. Penuh redha tanpa paksa.

Dia sayap kiri kehidupanmu. Susah, senang, suka, duka tetap bersama. Apa khabar dirinya sekarang? Apakah dirinya gembira dibelai angin kasih sayang darimu? Atau mungkin kini dia bermuram durja kerana dirimu. Hatinya kau sakiti, cintanya kau khianati, setianya kau buang ke tepi.

Suri hidupku kini tiada di sisi. Pulang ke desa tercinta. Namun cinta dan kasihku tidak akan pernah kurang walau seinci. Malah kini semakin bersemi membenihkan rasa syukur pada Ilahi. Berehatlah wahai permaisuri hatiku demi anak di dalam kandunganmu.  Anak kedua kurniaan Allah buat kita.

Sudah berapa lama kau bergelar suami? 2 tahun? 5 tahun? 10 tahun? 20 tahun? Sebagaimana lamanya kau menjadi suami, begitu juga lamanya dia menjadi isteri. Tidak kira dirimu dihambat duka, mendaki puncak cita-cita, dia setia menemani. Menjadi tongkat membantu dirimu melangkah. Menjadi jambatan membawa kau ke seberang.

Tergamakkah kau mematahkan tongkat itu yang menjadi sandaran buat kakimu melangkah? Tergamak juakah kau membakar jambatan yang telah membawa dirimu ke seberang? Jangan sekali kau memikirkannya. Jangan kau putuskan ikatan suci yang telah terbina. Jangan sesekali!!

Cuba kau kenangkan dia yang mengandungkan anak-anakmu. Dia juga bersabung nyawa melahirkan cahaya kasih buatmu. Mungkin seorang. Mungkin dua. Atau mungkin lebih dari itu.

Mungkin kau terlupa pada jasa Siti Khadijah. Juga lupa pada besarnya cinta Rasulullah pada srikandi cintanya. Dialah menjadi insan terhampir di saat Rasul terpinggir. Begitu kasih Rasululah pada Siti Khadijah; selepas pemergiannya, acapkali bergenang airmata mengenangkan jasanya. Dia yang menenangkan ketika Rasulullah didatangi wahyu. Dia juga yang hamil dan melahirkan cahayamata buat baginda.

Lalu, sukarkah untukmu meneladani Rasul mulia? Pastinya isteri kita tidak semulia Siti Khadijah, lantaran kita juga tidak semulia Nabi Muhammad S.A.W. Namun ia bukan alasan untuk kau tidak menyayanginya seperti Nabi mengasihi isteri.

Jangan sesekali kau lupa dia yang bersamamu saban ketika. Jika kau lupakan dirinya, jika kau lukai hatinya; bererti kau juga lupa pada dirimu. Jangan kau lihat ‘pucuk muda’ di hujung dahan sehingga kau lupa ‘akar tua’ yang menumbuhkan pepohonan.

Jangan kau gigit tangan yang sentiasa menemanimu di setiap perjalanan. Tangan yang membelai dengan sepenuh hati. Peliharalah dia, kasihi dia, jagalah hatinya… kerana dia isteri kita, dia adalah ‘Siti Khadijah ‘ kita.

Hisham Ahmad
Kuantan, Pahang.

Post to Twitter Post to Yahoo Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to MySpace Post to StumbleUpon